Di dalam memilih sahabat hendaklah engkau perhatikan syarat-syarat bersahabat. Maka jangan engkau bersahabat kecuali dengan orang yang layak untuk dijadikan sahabat. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda: “Seseorang itu mengikut agama (cara hidup) sahabatnya,oleh kerana itu hendaklah seseorang itu melihat terlebih dahulu siapakah yang patut dijadikan sahabat. Maka apabila engkau mahu mencari sahabat yang engkau jadikan dia sebagai sahabat di dalam menuntut ilmu dan di dalam urusan agamamu dan duniamu,maka hendaklah engkau engkau pastikan ada 5 sifat ada pada orang tersebut:
1. Orang yang berakal
Tidak ada kebaikan bersahabat dengan orang yang bodoh,kerana akibatnya akan membawa kepada permusuhan dan menyakitkan hati dan paling baik yang engkau dapatkan daripadanya ialah engkau terselamat dari mudaratnya ketika dia berusaha untuk memberi manfaat kepadamu. Kerana musuh yang berakal itu lebih baik daripada sahabat yang bodoh. Bersahabat dengan orang yang kurang berakal juga tidak dapat membina atau menambah baik kepada kita tetapi kita tetap wajib berbaik-baik dengan mereka.
2. Orang yang baik akhlaknya.
Maka janganlah engkau bersahabat dengan orang yang jahat perangainya iaitu orang yang tidak dapat mengawal dirinya ketika marah dan ketika dia dirangsang oleh nafsu syahwatnya.
Begitulah juga dengan orang yang suka mengumpat potpet-potpet sana sini seperti mami jarum, orang yang percakapannya tidak baik dan orang yang selalu mengajak kepada keburukan dan perkara yang melalaikan.
3. Orang yang soleh
Jangan engkau bersahabat dengan orang yang fasik yang selalu mengerjakan dosa yang besar, kerana orang yang tidak takut akan Allah itu tidak mengesali dalam membuat dosa yang besar dan orang yang tidak takut kepada Allah tidak dapat dipercayai sepenuhnya. Bahkan pendiriannya tidak tetap selalu berubah-ubah mengikut keadaan dan tekanan. Maka jauhi dari bersahabat dengan orang yang fasik kerana berterusan melihat perkara-perkara yang fasik dan maksiat itu akan menghilangkan kebencianmu terhadap maksiat tersebut lalu akhirnya engkau merasa ringan hal maksiat dan akhirnya terturut melakukan maksiat.
4. Jangan bersahabat dengan orang yang tamak dunia.
Jangan engkau bersahabat dengan orang yang tamak dunia,kerana bersahabat dengannya adalah racun yang dapat membunuh. Tabiat itu cepat sekali mempengaruhi tabiat yang lain dan perangai yang baik cepat sekali berubah menjadi jahat,sekiranya kita tidak menyedarinya. Maka suka bersahabat dengan orang yang tamak pada dunia akan menambahkan tamakmu terhadap dunia. Bersederhanalah. Kesenangan dunia hendaklah dicari tanpa meninggalkan amalan untuk bekalan akhirat.
5. Orang yang benar
Jangan engkau bersahabat dengan orang yang pendusta,barangkali dia akan menipu engkau. Berbohong adalah tabiat buruk yang dicela agama dan tidak disukai oleh sesiapa juga.
Dengan memilih sahabat yang baik diharapkan kita akan juga menjadi baik.Jika sahabat orang yang sering melakukan dosa, dikhuatiri kita akan turut berdosa kerana membiarkan mereka membuat dosa atau meredai perbuatan mereka atau membiarkan kemungkaran tanpa menegahnya. Jika kita mendengar orang mengumpat, kita tidak menegahnya, apalagi kalau kita tumpang tokok, bermakna kita memperolehi dosa percuma!
No comments :
Post a Comment